Sunday, April 18, 2010

tiga bulan macam tiga minit

Sedar tidak sedar, tiga bulan aku mengabdikan diriku di sekolah. Praktikum. Aku sudah sedia maklum bahawa profesion keguruan zaman kini penuh dengan perkara baru. Bukan sahaja guru, mereka jua kerani merangkap tukang kebun merangkap babysitter merangkap tukang buat line padang dan macam-macam lagi. Walau bagaimanapun, aku sendiri membuat keputusan untuk menjadi seorang pendidik maka aku redha dengan semua ini. Aku berdoa pada Allah s.w.t. supaya dikuatkan hati ini supaya sentiasa tabah dan sabar dengan semua dugaan.

Alhamdulillah, banyak pengalaman dapat kutimba dari praktikum. Terima kasih kepada semua warga sekolah kerna telah banyak membantuku. Jasa kalian tidak akan kulupa selamanya. Insyaallah.

Hari terakhir aku di sekolah, aku pergi ke salah sebuah kelasku. Apabila aku melangkah masuk ke kelas darjah 4 Bijak, mereka menyuruhku duduk dan mereka semua menyanyikan lagu Tinggal Kenangan & Menatap Matamu untukku. Terharu.

Sebelum keluar, aku sempat memberikan pesanan. Tiba-tiba hampir satu kelas menangis. Aku terkesima sekejap. Aku tahan air mataku supaya tidak tumpah. Bukan apa, jika aku menangis, lagi teruk mereka menangis. Maaf kalian, aku terpaksa pergi. Perjuanganku masih belum selesai.

Semoga anak muridku menjadi manusia. Insan yang berguna. Memanusiakan manusia memang satu cabaran yang tiada tolok bandingan.

Buat guru-guruku, terima kasih yang tidak terhingga atas segala jasa kalian. Aku terhutang budi.

Terima kasih, cikgu.