Buku: Bukan Dari Jibril
Penulis: Fikri Harun
Penerbit: Buku Hitam Press
Beberapa hari lepas aku telah berjaya menghabiskan membaca buku ini. Penulisnya Fikri Harun. Punya pandangan tersendiri terhadap alam fana ini. Menggunakan laras bahasa mudah. Sepanjang pembacaanku, tidak terjumpa jargon pelik-pelik. Hehe.
Antara yang disentuh dalam buku ini adalah tentang agama. Penulis menyampaikan maklumat secara rasional. Okei, aku tidak nafikan yang aku suka dengan kata-kata beliau ni;
"Poligami itu sama duduknya dengan penceraian. Tuhan izinkan, walaupun Dia tak sukakannya!"
Ya, sebagai wanita aku akui yang aku tidak gemarkan poligami. Bukan bermaksud aku mahu menolaknya mentah-mentah kerna ia dibenarkan dalam Islam. Beliau menambah, kesamarataan bukanlah keadilan. Aku jua berpegang dengan asas yang sama. Ada juga isu-isu agama yang disentuh sedikit sebanyak mengundang rasa tidak selesa dalam jiwa aku. Tapi itu pendapat dia. Aku hormati.
Selain itu juga ada disentuh tentang kemanusiaan. Penulis menceritakan tentang kekejaman yang berlaku terhadap anak-anak kecil. Diculik dan dibunuh dengan kejam. Membuka mata masyarakat supaya lebih berwaspada dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Zaman sekarang bukan macam dulu-dulu. Zaman aku kecik-kecik dulu selamba kodok je jalan-jalan keliling kampung sorang-sorang. Sekarang ni, kalau buat macam tu alamatnya kena sumbat masuk van dibawa lari la jawabnya.
Daripada apa yang aku baca, rata-rata penulisannya berkias-kias. Perumpamaannya lebih kepada bahasa dalam kain atau lebih tepat seks. Penggunaan perkataan air mani, menyetubuhi, pancut dan sebagainya menghiasi teks buku ini. Jangan cepat melatah. Bila cuba difahami, contoh-contoh yang diberikan punya impak tersendiri. Aku bukan ingin membodek sakan. Tapi cara penyampaian yang diketengahkan boleh dikatakan unik. Aku tidak pernah terfikir untuk menjadikan seks sebagai contoh dalam menyampaikan sesuatu. Sehinggakan pak imam pun turut sama terkena tempiasnya. Haha!
Manusia dan haiwan dikurniakan otak. Tetapi apa yang membezakan manusia dan haiwan adalah 'aql. Manusia kadang-kadang lebih kepingin untuk menjadi haiwan kerna masing-masing tidak tahu menggunakan 'aql dengan sewajarnya. Usah mudah mempercayai sesuatu. Seeloknya biar diselidik luar dan dalam untuk memastikan kesahihan satu-satu perkara itu.
Sudah panjang aku membebel. Tidak rugi korang baca buku ni. Aku petik kata-kata Fikri Harun,
Selamat bersetubuh dengan kerelaan! Jika sampai kau pada ejakulasi, jangan malu dan tamak untuk kongsikan dengan teman-temanmu. Moga kepuasan itu milikmu!
oleh: the ohsem dill