Kali terakhir menampal gambar di sini adalah pada bulan April lepas. Itu pun saja nak kenang-kenang buku yang dibeli dari Fixi.
Mengharap semangat menulis 2011 masih wujud walau sekelumit. Nampaknya virus M masih menguasai aku. Haha. Jadi aku menulis bila aku rasa hendak menulis. :)
Tahun lepas Atok aku kembali ke rahmatullah, 15 Syaaban 1433. Aku masih ingat tarikh hijri kerna aku berpuasa nisfu Syaaban pada hari itu. Memandu pulang selepas solat Subuh. Aku cuba berada dalam keadaan waras. Memandu dalam keadaan marah atau terlampau sedih boleh membahayakan diri sendiri.
Tok, Along ingat lagi apa yang Along cakap pada Tok masa cuti sekolah bulan 3 tahun lepas.
"Tok jaga diri elok-elok ye. Raya nanti kita jumpa."
Dan kita tak sempat jumpa dalam bulan Syawal, Tok. Tok pergi dalam bulan Syaaban. Lebih awal dari yang kita sama-sama jangkakan. Melihat wajah Tok buat aku sebak. Aku menangis semasa memeluk opah dan membaca Yasiin. Sekarang pun aku sebak.
Di tanah perkuburan ketika talkin dibacakan, mataku tertancap pada seorang budak perempuan kecil. Dia sibuk merakam semuanya dengan telefon berkamera. Apa, mak ayah dia tidak tahu mengajar anakkah? Ini bukan pesta gembira. Kami semua duka nestapa. Masih lagi membiarkan anak merakam sesuka hati? Bila aku luahkan, akan ada sesetengah orang berkata, 'Ala. Budak kecil. Apa yang dia tahu?" Okay, then I will blame her parents.
Masih terasa kehadirannya. Tok bukan seorang yang banyak bercakap. Tika hayatnya, dia sangat garang dengan kami adik-beradik. Namun itu bukan penghalang untuk kami berlepak sakan di rumahnya. :)
Tok, maafkan Along kalau Along urut belakang Tok kuat sangat.
Maafkan Along kalau Along sakitkan hati Tok.
Maafkan Along kalau Along sepahkan tempat tidur Tok.
Maafkan Along kalau Along tak banyak sembang dengan Tok.
Along cuma ada Opah, Mak dan Ayah je sekarang.
Al-Fatihah buat Tok, Baharom bin Omar.