Minggu ni aku bekerja 6 hari. Hari ketujuh, Ahad, baru merasa boleh bangun sedikit lewat.
Sedikit terkesan dengan apa yang berlaku malam sebelumnya. Ada kenduri kahwin berdekatan tempat tinggalku. Kelazimannya mereka akan berkaraoke dangdut berjam-jam lamanya. Bergelek sakan. Muzik dipasang sekuat mungkin. Aku terganggu. Ini bukan pertama kali. Sakit hati, Allah je yang tahu. Aku menangis kerana terpaksa menghadapi gangguan seperti ini. Bukan tidak bersyukur sebab sudah ada tempat tinggal. Tapi kita ni hidup berjiran. Bukannya ko sorang je yang kahwin. Aku menangis sehingga tertidur.
Aku pasti karaoke, dangdut, gelek ini akan berlarutan sehingga keesokan hari. Dan aku betul.
Aku mengemop rumah hari ini. Habuk penuh hampir di semua tempat. Rumah ni memang pengumpul habuk nampaknya. Tak sabar nak pindah dari sini satu hari nanti. Insyaallah.
Macam-macam perkara berlaku hari ni.
Masa aku nak masak lauk tengahari, santan boleh tertumpah dari kotak. Tak pasal-pasal aku mengelap lantai sekali lagi. Rasanya baru kejap tadi aku mop rumah. Penat-penat.
Semasa nak ambil barang dari peti ais, baru perasan susu pekat manis dah tumpah mengotori peti ais. Tepuk dahi aku. Aku ambil masa membersihkan peti ais pula. Memang Allah takdirkan susu ni tumpah supaya aku boleh membersihkan peti ais.
Panas bahang. Aku mahu mengangkat kain jemuran di ampaian menerusi tingkap dapur apabila aku perasan telekungku telah terbang ditiup angin dan jatuh atas bumbung rumah orang. Aku tinggal di tingkat 3. Telekungku jatuh atas bumbung rumah ground floor. Kelam-kabut aku turun. Tengok telekung. Mendaki ke rumahku semula dan turun membawa batang kayu mop. Cuba untuk mencapai telekung. Tapi tanganku tidak sampai. Gara-gara aku tidak cukup tinggi, aku gagal menariknya.
Aku naik semula ke rumah. Sedih sangat. Telekung itu pemberian Opah. Aku mesti dapatkannya. Tapi bagaimana? Aku sms emak, tanya pendapat. Emak kata cuba mintak tolong ketua blok. Aku terfikir, takkan aku nak ketuk pintu rumahnya (aku tak pasti rumahnya yang mana satu pulak tu) semata-mata nak ambilkan telekung.
Aku menangis.
Aku jenguk dari tingkap dapur. Aku dapat lihat tali pengikat telekungku terjulur di hujung bumbung. Cepat-cepat aku pakai tudung dan turun tangga. Aku lompat sekuat hati sehingga dapat mencapai tali pengikat telekung.
Alhamdulillah.
Aku cerita pada kawan sekerjaku. Dia kata,
"Allah saja ja tu. Nak usik awak."
Aku senyum.