Monday, February 28, 2011

rumah aku ada disko tau!

Apa yang kamu fikir bila aku tulis pasal disko ha? Hehe. Adakah aku telah membuka sebuah disko dalam rumahku? Oh, tidak mungkin!

Semalam, pabila malam menjelma, aku pun dengan senang hati menekan suis lampu bilik. Bilik aku kejap terang, kejap gelap. Ah sudah! Kenapa pula dengan lampu bilik ni. Aku tengok lampu. Lip lap lip lap. Sudah jadi macam lampu disko pula. Mesti starter lampu rosak. Aduh. Bila sudah sampai rumah, baru semuanya hendak rosak. Hari sebelumnya, nampak okay je. Memang dugaan dunia betul. Aku tidak boleh menyiapkan kerja (konon), kerana pencahayaan tidak mencukupi. Lampu di ruang tamu pula malap. Tuan rumah ni letak lampu kalimatang versi junior. Kecil cenonet lampunya. Ditambah pula dengan dinding ruang tamu berwarna biru. Memang terbaik la! Bertambah rabun aku dibuatnya.

Nampaknya perlu cari alternatif, bagaimana hendak membeli starter lampu. Susah betul bila tidak ada kenderaan sendiri. Hujung minggu ni kena keluar la nampaknya. 

Misi: pemburuan starter lampu! 


kurang asam punye starter!

Sunday, February 27, 2011

apa kamu fikirkan selepas membaca entri ini?

Aku terpisat-pisat memikirkan apa yang ingin aku tulis pada hari ini. Apa kata aku kongsikan bersama pengalaman aku yang tidak seberapa ini.

Situasi 1 - gerai menjual pisang goreng
Aku dan emakku singgah sekejap di gerai makcik menjual pisang goreng tepi jalan. Sedang emakku memesan pisang goreng, makcik tu dengan ramah menegur kami.

Makcik: Baru balik sekolah ke dik?
Aku: (tersengih-sengih macam kerang busuk)
Emak: Dia dah habis sekolah dah. Dah umur 20+ ni.

Makcik tu tengok aku. senyum. aku sambung sengih.

Situasi 2 - kedai gunting rambut
Kami selalu singgah kedai nyonya ni untuk gunting rambut. Die je tau macam mana hendak menggodek kepala aku dan adikku.

Nyonya: Ni umur berapa? 15 ka?
Aku: err..
Emak: Dia sudah tua. Sudah habis sekolah.

Nyonya senyum. aku sengih lagi.

Situasi 3 - kedai minuman nutrisi 1,2,3
Aku menemani ayahku. Dia mahu minum minuman tersebut. Dia sedang syok bersembang dengan seorang pelanggan lain. Aku duduk sedikit jauh dari mereka.

Pakcik: Tu anak ke? Sekolah kat mane?
Ayah: Oh, die dah habis sekolah. Die mengajar.

Pakcik tu terus tengok aku. Aku membalas pandangannya tanpa fikir apa-apa. blur~

Situasi 4 - kedai makan.
Tengahari tu kami ambil keputusan untuk memasak di kedai makan. Tengah syok-syok pilih lauk, akak kedai  makan tu ramah bersembang.

Akak: ni baru habis sekolah ke? tanak cari kerja part time?

Sebelum sempat aku menjawab, laju je emak aku jawabkan.

Emak: dia dah kerja. baru je lagi.
Aku sengih. 


Kesimpulannya, emakku memang rajin jawabkan soalan bagi pihak aku. Terima kasih emak. I love you!


Situasi 5 - sekolah
baru-baru ini aku melatih murid-murid tahun 6 untuk lakonan pendek. petangnya aku minta mereka datang ke sekolah. aku tunggu dan tunggu. tapi seorang pun tak de. akhirnya, dari jauh aku nampak kelibat mereka.

Murid 1: Eh, cikgu ke? Saye ingatkan budak sekolah mana tadi.

kurang asam punye budak!

Situasi 6 - sekolah
Menunggu murid-murid tahun 6. hari lain. nampak kereta myvi. Murid 2 turun.

Murid 2: cikgu, tadi mak saye tanye, tu cikgu ke. mak saye kate, keciknye...
Aku: aduh...

Saturday, February 26, 2011

dunia warna-warni

Dunia kita ni penuh warna-warni. Daripada manusia sampai la ke barangan jualan di sana sini. Siang tadi aku sempat berjalan-jalan menyusuri lautan manusia. Ramai betul orang. Biasalah, hari Sabtu. Aku agak kebosanan kerana keluar seorang diri. Kawanku tidak sihat. Kasihan dia. Moga cepat sembuh, Insyaallah. Aku sempat tangkap beberapa keping gambar. Disebabkan kamera telefon bimbitku tidak sepower mana, maka gambarnya juga ala kadar sahaja.

 beg ni lawa. teringin nak beli. tapi buat apa beg banyak-banyak. aku bukan budak sekolah. -_-"

 gambar ni aku tangkap bulan 10 tahun lepas. warna-warni magnet peti ais. comel!

gelang macam-macam warna. siapa hendak beli, berlambak kat Jalan Masjid India, KL.

selendang ropol-ropol. warna-warni. i like~


Baru sikit. Belum lagi tengok baju kurung, baju batik, anak tudung (scarf), kasut, sandal, kerongsang, baju T, seluar polka dot, seluar warna badut dan macam-macam lagi. 1001 warna. 

Fesyen tudung zaman sekarang pun dah lain. Kalau dulu kakak-kakak, makcik-makcik, opah-opah cuma pakai tudung bawal, sekarang ni, tak pandang dah. Pakai selendang ropol-ropol, pusing sana sini. Pakai tudung Ariani la atau yang sewaktu dengannya. Tudung ekspres orang kata. Memang warna-warni dan cantik. Boleh letak reben ye pada selendang. Kagum aku.

Aku teringat statusku di Mukabuku satu ketika dahulu;

"cuba memakai selendang. terasa seperti kerang"


Aku gelak sendiri.

Friday, February 25, 2011

koleksi beg warna-warni yang tak seberapa

Hari itu aku ada tulis yang aku aku hendak tunjukkan beg warna-warniku. Walaupun bilangannya tidaklah sebanyak mana tapi aku seronok ada beg warna-warni. Tiba-tiba terasa macam muda belia. Hehe. Tas tangan di tengah-tengah tu pilihan emak dan makcikku. Sangat cun, okay! Sling bag dan beg berbentuk ikan tu pilihan sendiri. Harganya murah dan berpatutan. Jadi, aku pun apa lagi. Rembat sekali dua ekor ikan. Ramai yang sukakan beg ikan tu. Ada yang berbentuk burung hantu. Kebetulan, bajet tidak mencukupi pula waktu tu. Aku hanya memandang beg burung hantu dari jauh. Selamat tinggal beg burung hantu. Aku akan merinduimu. Cewah.

sling bag, ikan dua ekor dan tas tangan

Belum lagi tunjuk barang-barang lain yang warna-warni. Masa belajar dulu, kumpul sticker. Macam-macam ada. Gambar ultraman, Himura Kenshin, Spongebob, Bleach, Precious Moment dan banyak lagi la. Aku pun dah tak ingat. Lepas tu, aku rasa macam membazir pula bila tidak digunakan. Aku beri semua kepada emak. Boleh emak gunakan untuk apa yang patut. Aku beli pin bergambar. Banyak aku kumpul. Lekat pada beg. Tapi bila dah lama, pinnya berkarat. Rosak beg. Terpaksa buang. Sedihnya. Tak habis dengan pin, aku beli pita selofan yang bergambar. Gambar pari-pari, gambar lembu. Aku pun dah tak tahu mana pergi semua barang-barang ni. Bila habis belajar, angkut semua balik. Sampai rumah, lesap semuanya. Kenangan warna-warni jadi pudar.

Sekarang ni aku beli riben bercorak untuk diletakkan pada papan kenyataan kelasku. Comel. Budak-budak kelas lain cemburu. Haha! Nasib la. Dapat guru kelas perangai macam budak-budak.


p/s: aku tidak tahu la kenapa jiranku ni dari tadi ketuk pintu rumahnya. orang dalam rumah tu tak dengar ke? tidur mati hape?!

Thursday, February 24, 2011

pening. nenong. nenong.

Hari ini tidak mampu hendak tulis panjang berjela. Kepala pening. Segalanya nampak berpusing-pusing. Ada komitmen lain. Esok lusa akan kemaskini. 

Wednesday, February 23, 2011

terkejut. kagum. bangga.

Tengah syok-syok kunyah bebola ketam, mataku terpaku ke kaca tv. Aku macam kenal je muka comel yang sedang bercakap dalam program tv. Eh! Tu Z kan? Aku makin mendekati tv. Mataku betul-betul depan kaca tv. Tidak syak lagi! Memang Z! Cepat-cepat aku capai telefon bimbit dan tangkap gambar sebaik mungkin. Cuba dapatkan sudut terbaik. Z tengah senyum tadi. Kenapa pula muka dia jadi macam ni? Tak ape lah :) Z tetap comel!

Z comel!

Maaflah, terlebih excited pula. Dia memang budak yang baik. Mendengar kata. Hormat guru dan kawan-kawan. Sangat pandai mengalunkan ayat suci Al-Quran. Aku kagum dengan dia. Bangga kerana sempat menjadi gurunya. 

Z, cikgu sentiasa doakan kamu. Moga berjaya di dunia dan akhirat. :)

Monday, February 21, 2011

jom ramai-ramai join faceblog

Ha! Apa lagi kawan-kawan? Jom ramai-ramai kita gegarkan Faceblog ni! Boleh la kita berkenalan antara satu sama lain. Aku teringin nak baca penulisan kamu semua. Jadi, jom kita serbu!!!

SELAMAT DATANG DIUCAPKAN KEPADA SEMUA YANG SUDI HADIR KE THE FACEBLOG. TUJUAN FACEBLOG DIWUJUD IALAH ATAS DASAR UNTUK MENGUMPUL DAN MEMBINA SATU KOMUNITI BLOGGER KHUSUSNYA DI SELURUH MALAYSIA DAN DUNIA AMNYA. MARILAH KITA BERSATU DAN BERKERJASAMA DALAM MEMBANTU RAKAN-RAKAN BLOGGER KITA DI SELURUH MALAYSIA. SEPERTIFACEBOOK, KAMI JUGA MEMPUNYAI TUJUAN YANG SAMA IAITU MENJALINKAN HUBUNGAN YANG LEBIH ERAT ANTARA PARA BLOGGER DI SELURUH MALAYSIA SELARAS DENGAN TEMA YANG KAMI GUNAKAN IAITU SEAKAN-AKAN TEMAFACEBOOK. SERTAILAH KAMI DAN BERSAMA KITA MEMERIAHKAN DUNIA BLOG MALAYSIA.
TERIMA KASIH



Klik! Klik!

Sunday, February 20, 2011

pengalaman balik kampung

Macam-macam pengalaman balik kampung sepanjang duduk di perantauan ni. Aku ingat lagi masa hendak balik kampung beberapa tahun dahulu. Tengah syok-syok jalan tiba-tiba ada mamat tegur.

Dik, nak pergi mane?

Saye nak balik kampung.

Dekat mana? Abg bawak bas. Boleh tumpangkan adik sekali. Kampung kat mane?

Perak. (sambil tu aku cuba jalan laju-laju sebab nak lari dari dia. tapi dia kejar aku!)

Ha, naik bas abg je la. Abg bawak Durian Burung. Boleh tumpangkan adik sekali.

Tak pe lah. Terima kasih. Saye nak cepat ni. (Kepala hotak dia! Durian Burung mana ada lalu pekan terdekat kat kampung aku tu)

Bukan suka-suki hendak jawab semua soalan dia. Aku cuba bersopan. Aku tidak dapat bayangkan apa nasibku jika aku kurang ajar atau cakap kasar dengan dia. Dia lelaki. Dia lebih kuat dari aku. Dia boleh buat macam-macam. Aku jalan makin laju menuju ke Puduraya. Dia kejar aku sambil mulutnya tak berhenti-henti bercakap. Mengajak aku naik bas dengannya. Gila! Aku cepat-cepat menyelitkan diri di celahan orang ramai. Berharap yang die tak kejar aku lagi. Aku selit sana sini. Toleh belakang, Alhamdulillah. Dia dah hilang. Hilang dalam ramai.

Astaghafirullah. Sangat menakutkan. Dia ingat aku ni budak yang baru sampai dari kampung ke? Buat kawan-kawan, jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu orang yang kita tak kenal. Kuala Lumpur bukan bandar mainan. Penuh dengan manusia pelbagai perangai. Syaitan yang bertopengkan manusia. Bukan hanya Kuala Lumpur, semua tempat macam tu. Tolong jaga diri sendiri. Yang perempuan, jangan jalan seorang. Seeloknya jalan ramai-ramai. Yang lelaki, tolong jangan tunjuk hebat. Tak pasal-pasal nanti, kamu hilang nyawa. 

Saturday, February 19, 2011

cerita berulang-ulang

Dua tiga hari ni aku tinggal di rumah kawan. Selama tinggal di sini, aku lihat anak gadisnya asyik menonton Astro Ceria. Aku faham, budak-budak memang suka tonton Astro Ceria. Masalahnya, kamu semua fahamkan Astro asyik tayangkan cerita yang berulang-ulang. Contohnya seperti semalam. Aku rasa tiga kali aku tonton Hikayat Putera Shazlan -  episod yang sama. Sekarang ni, cerita Raffeeq (betul ke ejanya?). Masuk hari ini, sudah empat kali tonton episod yang sama. Dah rasa macam ape je. Haha! Tak pe lah. Asalkan si adik ni suka, layankan aje. Aku sudah boleh hafal dialog drama tu sikit-sikit. Terbaik la! Huhu!

Kamu semua bayangkan kalau hidup kita ni asyik berulang-ulang. Contohnya, hari ini hari Isnin. Kamu  bangun pukul 6.30 pagi dan melakukan rutin seperti biasa. Pergi kerja, pergi belajar. Kena marah, stuck kat traffic jam. Macam-macam lagi lah. Kamu mahu setiap hari adalah hari Isnin? Dengan kelakuan manusia di sekeliling kamu sama sahaja setiap hari. Hari-hari dengar dialog yang sama. Tindakan yang sama. Traffic jam yang sama. Caci maki yang sama. Segala-galanya sama. Rasanya boleh jadi gila kan?

Dunia ini adalah pentas kehidupan. Kita adalah pelakonnya. Tidak ada seorang pun dari kita punya karektor dan peranan yang sama. Baru dunia ini unik. Jika semua sama sahaja, dunia ini tidak berwarna. Kelam dimamah usia. Namun, perlu ingat, jalan kehidupan yang dipilih perlu berpandukan agama yang dianuti. Hormati orang lain sebagaimana kita inginkan orang lain hormati kita.

Friday, February 18, 2011

adik, buat apa tu?

Aku tengah menumpukan perhatian dengan data-data dalam komputer riba. Sakit kepala nak kemaskini segala yang ada. Tiba-tiba si adik ni bangun dan bergerak menuju ke plak charger komputer ribaku. Aku sudah rasa semacam, tapi masih tidak berbuat apa-apa. Dia terbongkok-bongkok seperti mencari sesuatu.

'What are you doing dear?' mataku terus meliar pada tindak tanduknya.

'Nak tukar plak' Dia terus cabut tanpa amaran apa-apa.

Komputer ribaku tidak menggunakan bateri kala itu, okay! 

Tiba-tiba terpadam. Skrin gelap. Dataku! Dia selamba bangun dan kembali menghadap komputer ribanya. Allah...Adik, kenapalah kamu tidak tanya aku dahulu. Nasib baik lah dataku masih sihat walafiat. Kalau tidak, menangis tidak berlagulah aku.

Teringat kiriman pesanan ringkas dari kawanku 'Hai mama angkat. jaga baby ke'

Ye la baby! Nasib baik la dataku terselamat. Fuh...

colourful life

botol air special edition

Honestly, I did not aware the blue bottle is taller than the pink one. May be I was too excited capturing the picture. Haha! I love cartoons. I love colourful things. I love a.e.i.o.u. studio's wrapping paper designs. 

When other people are crazy to spend their money on handbags, shoes, jewelry, gold, I have my own passion. I love to shop at the stationery section. Cute and colourful note books, wrapping papers, pens, pencils and many more. In addition to that, I do love bags. Colourful bags. Sling bag is one of my favourite! Yay! Thanks to my beloved mom and aunt, they chose a beautiful and colourful handbag for me. I am not a handbag user before this. But I have to be one since I need to look professional at my workplace. Need to look older and matured. Huhu! Even my pupils thought me as a tertiary level student when I wear T-shirt, track suit and my colourful sling bag. Haha! My bad!

I am going to captured the picture of my sling bag. But not now. Need to wait. Haha! Does anybody care? I don't think so. Kuang3x 

Wednesday, February 16, 2011

aku, murid dan kek cawan

Hari ini ada Program Pelancaran NILAM (NAdi ILmu Amalan Membaca) di sekolah. Aku telah melatih lima orang anak muridku untuk lakonan pendek. Tidaklah segah mana namun aku bangga dengan mereka. Keberanian, kesungguhan dan kecomelan mereka memang mengkagumkan.

empat daripada lima pelakon terkenal :)


Gambar ini aku ambil tika mereka sedang berlatih dialog masing-masing. Mempromosi amalan membaca. Menurut laporan dalam akhbar Utusan, statistik menunjukkan secara purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Salah satu langkah untuk mempromosikan amalan membaca adalah melalui sekolah menerusi Program NILAM. Jadi apa kata kita jadikan membaca ni salah satu rutin dalam kehidupan. Seronok tau kalau tahu banyak perkara :)

Ilmu itu seluas lautan. Kita tidak tahu di mana penghujungnya. Jadi, mari membaca, ya!

Salah seorang dari pelakon terkenal telah memberikan kek cokelat kepadaku. Aku masih belum rasa kek cokelat tu. Baru rasa kek cawan yang warna kuning. Sedap, okay! Kek cawan kuning bertulisan huruf H diberi oleh anak murid darjah 3. Sebelum ni pun dia pernah beri kek cawan juga. Rajin sungguh ibunya. Terima kasih banyak-banyak. Aku garang bukan untuk suka-suka. Aku ingin lihat kamu berjaya. Aku sentiasa mendoakan kalian.

These little cakes look delicious, aite!

Kamu pernah makan kek cawan yang masyuk? Jom kongsi cerita kek cawan! Haha! Ni pun boleh jadi bahan cerita ye? Tak kisah la...

Tuesday, February 15, 2011

kepenatan maksima

Fuh! Semalam memang amat mencabar jiwa dan raga. Sampai rumah dah pukul 2.30 petang. Sejam lepas tu, dah terpacak kat sekolah. Tengok budak-budak buat latihan lakonan. Lewat petang pula tolong tengok-tengokkan anak-anak kawan. Dia ada kelas tambahan malam. Sampai rumah dah lewat malam. Kebetulan ayah dan adik sampai dari kampung. Temankan mereka makan malam. Terus balik rumah lepas makan. Aku lemah longlai. Penat sepenat-penatnya. Mata pun tak larat nak buka. Online sekejap, lepas tu rasa macam nak tertidur depan komputer riba.

Letak kepala atas bantal, terus terlelap. Tidak sedar bunyi alarm clock. Sedar-sedar sudah pukul 6.30 pagi! Nasib baik ayah awal-awal sudah bangun. Astaghafirullah. Tidak pernah jadi macam ni. Perlu rehat.

Hari ni, seharian menyiapkan semua tugasan. Aku sudah cuba buat yang terbaik. Moga segalanya dipermudahkan Allah. Insyaallah. 

Aku setia menunggu siri Supernatural. Tetapi nampaknya malam ini tidak ada. Mata sudah kuyu. Mahu tidur.

Selamat malam.

fesyen terhangat di pasaran

Aku tahu sudah ramai yang tulis tentang ini. Hatiku tergerak untuk menulis bila aku sendiri ternampak manusia memakai pakaian ini.


Maaf, kualiti gambar kurang memuaskan. Kamu semua nampak tak apa yang gadis tu balut pada kakinya? Apa orang panggil? Legging? Aku rasa pemakaian legging ni tidak beberapa sesuai dan comel. Bukan apa, nampak bentuk dari peha sampai ke hujung betis. Tidak bermaksud untuk mempertikaikan apa-apa. Cuma ingin mengajak kamu semua untuk berfikir sejenak.

*kalau pakai legging,

#adakah kamu nampak lebih umph?
#adakah kamu nampak kaki kamu lebih kurus?
#adakah kamu bangga mata meliar melihat kaki kamu?
#atau ada sebab lain?

Tidak comel, kawan-kawan. Ia seperti memakai swimsuit di daratan. Kalau kamu pakai legging di swimming pool khas untuk perempuan, aku pasti kamu akan nampak lebih vogue!

Salam Maulidur Rasul

Puji-pujian ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Kau pergi tinggalkan umatmu dengan tangisan dan ratapan. Kerisauan tentang nasib dan keselamatan kami.

"Ummati...Ummati..." kau merintih sayu.

Aku merinduimu, Rasulku. Moga aku tergolong di kalangan umatmu yang solehah. Ameen.

Salam Maulidur Rasul.


Sunday, February 13, 2011

jalan-jalan melihat alam

Semalam keluar dengan kawan. Bukan pergi enjoy bagai nak rak. Tetapi ada banyak hal yang perlu diselesaikan. Bingkai cermin mata patah. Allah. Memang merabakkan poketku dah sudah sedia parah ini. Bingkai cermin mata sekarang mana ada yang murah-murah. Semua main ratus je. Menggeletar tangan semasa duit bertukar tangan. Dugaan awal bulan.

Aku memang suka membuat lawatan sosial ke kedai buku. Kalau orang lain gila membeli belah tas tangan, kasut, baju etc, aku gila membeli belah di bahagian alat tulis. Pantang nampak benda yang comel-comel. Mula la teringin hendak beli. Berusaha dengan sedaya upaya untuk tidak membelanjakan duit ke atas barang yang bukan keperluan. Biarlah sampai termimpi-mimpi pun. Asalkan duit tak terbang ke sana sini. 

Semasa di BB Plaza, ada tarian singa. Sangat comel! Dung dung cang! Dung dung cang! Aku dan kawanku memang bersemangat melihat singa tu menggoyangkan kepalanya. Teringin nak pergi dekat-dekat. Tetapi orang ramai sangat. Agak kecewa. Singa tu masuk kedai Levi's. Lepas tu pusing-pusing kat kedai berdekatan. Dung dung cang! Dung dung cang! Gendang pun kena ikut sekali la. Hehe!

Sekali sekala meluangkan masa bersama kawan-kawan di hari minggu memang seronok. Merehatkan minda setelah lima hari bertungkus-lumus bekerja. Kalau keluar ramai-ramai lagi masyuk. Tetapi masing-masing dah duduk jauh. Ada komitmen sendiri. Yang dah kahwin tu, memang aku tak kacau dah. Segan.

Bagaimana dengan hari minggu kamu? Masyuk tak?

model cermin mata.

misi setiap Ahad: kemas rumah!

Kenapa Ahad? Selalunya hari Sabtu ada program. Program sendiri atau program tempat kerja. Hari-hari memang kemas rumah. Tetapi hari Ahad memang cuba sehabis baik lah! Duduk di sini memang penuh habuk. Okay, di mana-mana pun memang banyak habuk. Tetapi ape yang aku cuba katakan di sini, rumah aku ini senang sangat berhabuk. Baru sahaja mop lantai, lagi setengah jam sudah berhabuk kembali. Seperti tidak pernah dimop sebelum ini. Terasa macam

'Buat penat je aku mop tadi!'

Bayangkan, hampir setiap tempat ada habuk. Kat handphone, printer, buku-buku, meja tulis termasuk komputer riba sekali. Bila lap, fuh! hitam tisu dibuatnya. Habuk bandar memang menakutkan.  Skrin komputer riba penuh dengan debu. Jenuh membersihkannya setiap hari. Kalau di kampung tu, memang ada habuk. Tetapi tak de la sebanyak ni. Dugaan. Dugaan. 

Bukan apa, udara tercemar, kesihatan terjejas. Kalau di kampung, banyak pokok. Penuh oksigen. Di sini, penuh bangunan pencakar langit. Penuh kenderaan. Tak de sumber oksigen. Sumber karbon dioksida dan karbon monoksida banyak la. Semoga kesihatan aku tidak terjejas. Ameen. 

Kalau tak, macam mana nak bercakap dalam kelas? Guna bahasa isyarat? Alamatnya kami masing-masing tak faham! Haha!


Friday, February 11, 2011

roti gardenia dan cokelat nutella

Seminggu berlalu, penuh dengan timbunan tanggungjawab. Seperti biasa. Penghuni kelas 2 Maju sudah menjadi sebahagian dari hidupku. Sudah anggap seperti anak sendiri. Ramai betul anak aku. Haha! Masing-masing muka comel, tidak bersalah. Suci. Tetapi, liat sungguh nak siapkan kerja rumah. Adoi.

Layan roti Gardenia dengan sapuan cokelat Nutella malam ini. Memang sedap. Masa belajar dahulu susah betul nak merasa makanan macam ini. Iyelah, tak mampu kan. Aku hanya makan mi segera bila sudah tiada makanan lain yang tinggal. Bukan penggemar mi segera. Tidak sedap! (aku je la yang rasa macam tu). Buat la iklan gempak macam mana pun kat media massa tu, langsung aku tidak tergoda. Kalau zaman tu boleh dapat roti Gardenia dengan cokelat Nutella, memang heaven! Kenapa pilih roti dari mi segera? Okay, ini bukan hendak buat promosi percuma ye. Roti kaya dengan serat. Lagi-lagi roti Gardenia. Diizinkan Allah, memang boleh kenyang kalau kita makan beberapa keping roti tu. Aku jarang beli roti jenama lain. Lagi-lagi bila ada satu jenama roti tu dikatakan tidak bersih. Kilang buat roti tu kotor dan menjijikkan. Tak lalu aku tengok.

Bila kite sapu roti dengan cokelat Nutella, memang sedap la jadinya. Tetapi cokelat Nutella ni, harganya boleh tahan juga. Kadang-kadang kami kongsi duit dan dan beli dua makanan tu. Makan roti + Nutella beramai-ramai. Picnic! di asrama. Seronoknya zaman tu.

Sekarang ni aku sudah mampu beli Nutella sendiri. Alhamdulillah. Gardenia masih di hati. Kalau tak makan dengan Nutella, aku makan roti cicah Milo 3 in 1. Sedap. 

Kamu semua pernah cuba tak?


Wednesday, February 9, 2011

bila tanggungjawab melebihi segalanya

Apabila sudah masuk alam pekerjaan, agak sukar untuk aku menulis di sini. Sangat cemburu bila kawan-kawan sempat berjalan-jalan menjelajah blog (blogwalking). Tidak punya banyak masa terluang. 


Aku sudah tidak seperti dulu. Zaman belajar memang seronok. Tidak ada komitmen lain selain belajar.  Masa belajar tidak perlu risaukan bil air, bil elektrik, hutang PTPTN, sewa rumah, bayaran bulanan kereta dan macam-macam lagi. Namun masih ada lagi manusia-manusia di luar sana yang tidak tahu bersyukur dan menghargai apa yang mereka ada sekarang.

Apa yang kita inginkan perlu dikaji secara telus. Sama ada ia tergolong dalam kategori KEPERLUAN atau KEHENDAK. Aku sedang cuba mendidik diriku untuk sentiasa berfikir  dahulu sebelum membeli suatu barang. Walaupun pengalaman hidupku tidak segetir zaman pendudukan Jepun dahulu, namun aku tahu betapa susahnya untuk mendapatkan duit. Teringat kata-kata ayahku,

"Kak Long ni kena belajar shopping!"

Nah! Penangan percuma dari ayahku dua tahun lepas. Saye sedang berusaha ni, ayah! Hehe! Namun perlu fikir berpuluh-puluh kali sebelum membeli sesuatu. Sangat seksa, okay. 

Bermulanya bulan Februari, maka bermulalah kerja yang bertimbun-timbun. Tanggungjawab menanti untuk digalasi. Semua orang berlumba-lumba untuk memberikan jawatan kepada aku. Terasa seperti artis pula. Budak baru, wajib dibuli. Itu sudah menjadi rutin bagi setiap tempat kerja (bukan semua ya).

Paling penting, jangan lupa tanggungjawab terhadap Allah s.w.t. dan juga ibu bapa. Tanpa Allah, kita tidak bernilai. Tanpa ibu bapa, kita tidak ada apa-apa.




Tuesday, February 8, 2011

blog si amatur - Miss Dill

Hampir enam tahun berkecimpung dalam dunia blog. Namun niat di hati bukannya hendak mencari populariti. Hanya menggunakan teknologi yang ada untuk meluahkan perasaan di dada. Aku bukannya seorang penulis tegar. Bukan seorang yang menulis hampir setiap hari tentang pengalaman kehidupan. Aku hanya menulis bila jiwa ini memanggil untuk menulis.

Okay, sekarang ini aku dapat lihat blog ku semakin semak dengan widget baharu. Maaf jika ia menjengkelkan kamu semua. Aku teringin. Hehe! Memang terasa kelainan dengan blog dahulu. Yang masih sama, aku adalah Miss Dill, si blogger amatur pemalas.

Sebelum kamu semua meninggalkan sebarang komen, dengan penuh hormat tolong baca pesanan aku di bahagian bawah blog ini. Terima kasih. 


Monday, February 7, 2011

hari Isnin selepas cuti

Sebelum ini, cuti seminggu sempena Tahun Baru Cina. Pejam celik seminggu berlalu begitu sahaja. Selepas ini akan jadi lebih sibuk. Harap-harap masih sempat kemaskini blog. Lagipun, mana ada yang baca. Haha!

Sekarang ni sedang menonton drama Gemilang. Sangat suka drama ini sebab ada kena mengena dengan pendidikan. Ada tak sesiapa yang minat jugak dengan drama ni?


Somehow, this drama feeds my soul.




Happy Birthday, Q

Just want to wish you Happy Birthday. 

I hope everything went well in your current life. Remember what I have told you before. Stay out of troubles and do not create ridiculous troubles. They eat you alive, bro. Obstacles are everywhere in this life. It is up to us, how to tackle them. We are not little children anymore. Things are getting complicated everyday. 

Do not ever forget Allah. Once you forget Him, you will be forgotten ten times more. I care about you as a friend. Do take care of yourself. As you said, you are not going to be around for me anymore. Same goes for you. I am not going to be around to comfort you each and every second anymore. Life goes on.

Chill.


Saturday, February 5, 2011

rakan sekolahku mendirikan masjid

Alhamdulillah, dengan izinNya, aku selamat sampai ke rumah rakan sekolahku di hari bahagianya. Dia sangat cantik menawan. Seri pengantin bak kata orang. Aku boleh terlupa membawa telefon bimbitku untuk bergambar. Nampaknya kena tunggu kawan-kawan lain memuat naik gambar kami di Mukabuku. Sila muat naik ya. Aku mahu save

Pergi ke sana dengan adikku dan rakan sekolahku yang sudah 13 tahun tidak ketemu. Dia sanggup mengambilku di rumah. Terima kasih. Jasamu kukenang sampai mati. Terima kasih kerana setia menunggu aku dan kawan-kawanku bergedik bergambar dengan pengantin perempuan. Kami sudah sekian lama tidak berjumpa. Macam-macam cerita dan gosip keluar. Haha! Jika ada gambar, akan muat naik di sini. Insyaallah.


Miss Dill & Juliza :)

kawan-kawan blogger

Terima kasih kerana sudi follow blog aku yang tidak seberapa ini. Blog ini agak skema kan? Haha! 

Aku ingin minta jasabaik kamu semua untuk meletakkan pautan (link) blog kamu bagi memudahkan aku membalas balik kunjungan kamu. Kamu semua nampak kan paparan buku tetamu di bawah gambar-gambar follower itu kan? Tolong ya! Aku ingin sekali melawat blog kamu. Kepada yang telah mengisi alamat blog, terima kasih. Aku akan cuba sedaya upaya untuk menjenguk blog kamu. Terima kasih sekali lagi kerana follow blog Miss Dill!

Sayang kamu.

Friday, February 4, 2011

operasi menyiang sisik ikan

Tadi pakcik membawa pulang sebaldi ikan puyu. Kira-kira 50 ekor ikan puyu dalam baldi tu. Selepas solat Isyak, opah memanggil cucu-cucu cunnya. Tolong opah siang ikan. Aku, adikku dan adik sepupuku bersemangat menyinsing lengan baju dan mula menyiang. Alamak! Ikan puyu tu masih hidup lah! Melompat-lompat! 

Operasi dilaksanakan dengan riuh rendah. Macam-macam cerita keluar. Cerita lawak, seram dan macam-macam lagi. Opah kami layankan aje telatah cucu-cucunya. Siap join lagi. Haha! Sambil siang, sambil pok pek pok pek. Layan. 

Bersembang dengan orang veteran ni banyak faedahnya. Pelbagai ilmu kita dapat. Selagi hayat dikandung badan, kita timbalah ilmu dengan orang yang lebih berpengalaman. Mereka terlebih dahulu makan garam kehidupan ini dari kita. Kita ni baru setahun jagung. Nanti aku mahu bertanyakan tentang perkataan-perkataan Bahasa Melayu dalam loghat Perak. Mesti menarik. Kalau aku sudah dapat kumpul perkataan-perkataan itu, akan aku kemaskini dalam blog. Insyaallah.

kertas soalan ujian

Fuh, setelah beberapa hari berhempas pulas menaip kertas soalan ujian emak, akhirnya siap ditaip. Bercuti sementara dari blogwalking. Selepas ini giliran aku pula menaip kertas soalan sendiri. Sedar tidak sedar sudah masuk bulan Februari. Selamat tinggal Januari. Sebulan berada dalam tahun 2011 memang sangat sibuk. Baru sebulan. 

Otak penat. Perlu rehat. Apa kata kita pergi berjalan-jalan melawat blog kawab-kawan? :)

Jom!

Thursday, February 3, 2011

corat-coret blog lama

Teringat enam tahun lepas ada menulis blog di Friendster. Bila baca balik, gelak sendiri. Cara penulisan yang berbeza (sekarang lebih skema), dengan singkatan perkataan yang hanya wujud dalam sistem pesanan ringkas, titik dot dot dot yang banyak dan macam-macam lagi lah. Cuma sekarang ini lebih selesa menulis begini. Biarlah orang kata Miss Dill ni skema. Tetapi rasanya, tidaklah terlalu skema. Masih ada selitan perkataan yang biasa digunapakai dalam percakapan. 

Selepas menulis di Friendster, terlintas untuk menukar ke domain baru - blogspot. Semuanya gara-gara terpengaruh dengan kawan yang waktu itu bersemangat waja menulis di blogspot. Kala itu, masing-masing belum terikat dengan apa jua komitmen serius selain belajar. Menghabiskan masa terluang di makmal komputer. Yelah, masing-masing tiada komputer dan internet. Selepas habis belajar, masih ada yang rajin mengemaskini blog. Cuma tidak sekerap dahulu. Aku pun sama seperti itu. Ada komitmen lain yang perlu dipenuhi selain menulis di sini. Seperti yang aku pernah katakan sebelum ini, aku hanya menulis bila aku terasa ingin menulis. Aku tidak mahu menulis entah apa-apa di sini tika kekeringan idea. Nanti aku mula merepek yang bukan-bukan. Penulis amatur yang pemalas. Haha!

Terima kasih kepada yang sudi follow blog picisan ini. Aku sangat-sangat menghargainya. Salam perkenalan ya.

Aku juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan 

Selamat Tahun Baru Cina!

kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Buddha tidak kira di mana jua anda berada :)

Tahun Arnab. Memang binatang comel~



Wednesday, February 2, 2011

menghias kelas memang seronok!

Sebagai  guru kelas mesti kita dambakan kelas yang cantik dan menarik untuk anak-anak murid kita. Aku tidak punya masa untuk membeli barang yang banyak kerana masalah pengangkutan. Namun, aku cuba siapkan seberapa segera yang boleh. Aku tidaklah kreatif seperti rakan-rakan yang lain. Tetapi aku cuba sedaya-upaya menghias kelas secantik mungkin. Sedikit demi sedikit aku siapkan sehingga nampak seperti kelas baru tahun 2011 dipimpin oleh guru kelas baru. Masih belum siap 100%. Aku sedang cuba menambah apa yang patut. 

Apa yang aku kesalkan, ada tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab telah melakukan onar terhadap usaha aku. Ada sticker kartun telah dicabut dan rama-rama buatanku juga telah dihilangkan. Aku sedih. Bukan mudah melakukan semua ini. Ada juga manusia-manusia yang tidak menghargai usaha orang lain. Aku tidak tuduh siapa-siapa. Mungkin ini ujian buat aku dan kelas pimpinanku. Teringat nasihat seorang rakan sekerja selepas aku menceritakan tentang perkara ini:

"Hias kelas biasa-biasa je. Jangan letak sesuatu yang boleh menarik perhatian murid-murid seperti sticker kartun itu. Mereka akan ambil. Budak-bukan, kan?"

Aku diam. Kecewa. Aku hias kelas supaya cantik maka anak muridku akan gembira belajar di situ. Keadaan persekitaran memainkan peranan yang penting dalam sesi pembelajaran.

Redha.





Tuesday, February 1, 2011

nuffnang

Selama ini selalu lihat perkataan nuffnang di blog kawan-kawan. Aku tidak tahu apa benda lah nuffnang tu. Rupanya iklan secara maya. Akhirnya, hari ini aku selitkan juga iklan nuffnang. Aku tahu, blog perlu jadi terkenal seperti pisang goreng panas untuk menjana pendapatan. Alah, aku saja-saja letak iklan. Apa salahnya kan? :)

Akan kemaskini blog selepas ini. Insyaallah.