Berjanji dengan kata-kata memang mudah. Tetapi untuk melaksanakannya tidak semudah yang disangka.
Mungkin aku sudah terbiasa dengan kehidupan yang tidak mudah percayakan ramai orang. Aku tidak maksudkan yang aku tidak percaya langsung. Ada keadaan tertentu yang memaksaku untuk memilih ketidakpercayaan.
Bukan aku tidak mahu percaya. Bukan aku sentiasa berperasangka. Teringat kata-kata sahabat baikku, jangan kita tidak percayakan seseorang langsung. Sekurang-kurangnya tinggalkan sedikit nilai percaya terhadapnya. Serius, aku ingin percaya.
"Dia tidak setia!"
"Dia permainkan kamu sahaja!"
"Dia olok-olok sahaja dengan kamu!"
"Kamu cuma teman bila dia sunyi dan bosan!"
Apa perasaan kalian bila tiba-tiba terdetik perkara begitu dalam hati? Aku sendiri tidak suka. Tetapi aku tidak dapat menghapuskan detikan itu hanya dengan petikan jari. Jujur kukatakan aku hidup dalam kerisauan. Hampir setiap hari. Kupujuk hati dengan mengatakan, aku tidak kemaruk cinta. Jika sebelum ini aku boleh hidup sendiri, takkan sekarang tidak mampu lagi? Sudah lemah?
Aku cuba percaya. Kepercayaan aku fragile. Sekali retak, pecah berkecai semuanya.
Aku tahu kamu sibuk. Sibuk di sebalik Banjaran Titiwangsa. Setahu aku, aku tidak minta banyak perkara. Aku tidak demand. Cuma kadang-kala aku perlukan perhatian. Kamu tahu perempuan sukakan perhatian? Kamu kata kamu letih. Masih teringat, kamu kata aku hanya letih otak kerna membaca buku.
Ya, aku tidak letih. Aku banyak masa terluang. Aku tidak perlu berjalan sana ke mari. Kalau kamu masih ingat, aku pernah mengatakan, jika otak letih maka secara automatiknya badan akan letih. Kamu sendiri mengakui perkara itu, kan?
Kamu rasa-rasa kan, aku letih tak bergelumang dengan segala teori, jadual padat dan high expectation yang diperlukan sepanjang aku berada di sini? Aku letih. Tetapi, aku sentiasa ada masa untuk kamu. Cuma kamu tidak akan dilayan jika aku sibuk bersama Kekasihku, lima kali sehari.
Kamu tahu aku cuba sedaya upaya untuk mempercayaimu? Kepercayaanku seperti kaca. Ia rapuh. Sekali terkena, punah semua. Aku tidak suka jika ada parasit-parasit tergedik-gedik denganmu. Walaupun kamu bertegas mengatakan kamu tidak ada apa-apa, tetapi kamu tidak tahu hati aku.
Aku letih.