Sekiranya kawan-kawan sibuk mengemaskini facebook dan blogspot, aku di sini bersengkang mata dengan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Terasa 24 jam dalam sehari tidak cukup kala ini. Jika dahulu aku sempat untuk menjelajah blog-blog, tetapi kali ini tidak lagi. Tidak sempat untuk itu semua. Pergi ke sekolah, aktiviti kokurikulum dan malamnya menyiapkan RPH sudah menjadi rutin harian. Aku cuba dengan sedaya selitkan sedikit masa untuk kekasihku. Ya, nampaknya aku lebih gemar menggunakan perkataan kekasih daripada Encek Q buat masa ini. Dia pun tidak berapa berkenan dengan panggilan Q. "Itu panggilan untuk adik," katanya. Okay sayang. Aku cuba tukar ya?
Maafkanku kerna sering tertidur tika kau bertanya khabar. Maafkanku kerna lambat membalas pesanan ringkasmu. Maafkanku kerna tidak dapat pulang pada 7 Februari lalu. Aku terasa amat bersalah sebenarnya.
Aku terfikir, jika aku ditempatkan di kawasan yang tiada talian internet dan telefon, bagaimana harus aku tempuhi setiap saat yang berlalu. Bagaimana dengan kekasihku? Cari lainkah dia? Huish! Aku tidak boleh berkata begitu. Nanti dia marah.
Aku wujudkan blog ini bukan untuk menjana pendapatan atau trafik. Jika ada yang sudi membaca pun, sudah memadai. Terima kasih.
Blog ini adalah picisan dari kisah aku. Kisah yang tidak berpenghujung. Sehingga nyawa dicabut Izrail, sehingga bertiup angin sangkakala.