Sunday, January 17, 2010

kesabaran

Hidup ini memang penuh dengan pancaroba. Walaupun apa jua lorong kehidupan yang kita pilih, pasti ada onak duri yang menanti. Kita tidak boleh berkata tidak kepada segala rintangan itu. Siapa kita untuk mempersoalkan ketetapan yang Maha Esa? Sering aku katakan kepada kawan-kawanku, juga Encek Q, "Salah satu cara Allah menunjukkan kasih sayang kepada hambaNya adalah dengan memberikan pelbagai dugaan kepada hamba itu. Menguji kemampuan kita, bagaimana menempuh dan menangani dugaan itu."

Kesemua ini secara langsung atau tidak langsung, telah mengajar kita pelbagai perkara. Duniawi dan ukhrawi. Ya, kita tidak sempurna. Telah termaktub bahawa manusia tidak sempurna. Tetapi tidak salah untuk kita memperbaiki diri sendiri untuk kebaikan masa depan. Allah tidak akan mengubah nasib hambaNya jika hamba itu sendiri tidak berusaha untuk mengubah nasibnya.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin ia tidak kelihatan pada waktu ini. Namun, Allah Maha Adil, pulangan itu akan kita rasai dalam cara yang berbeza. Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, keluarga bahagia juga salah satu hikmah dan nikmat dari Allah.

Sabar itu sebahagian dari Iman. Selagi kita boleh sabar, kita sabar, ya? Tetapi biarlah kena pada tempatnya. Aku menerima tazkirah melalui pesanan ringkas, "Siapa yang tidak marah pada masa sepatutnya dia marah itu keldai dan siapa yang tidak menghapuskan kemarahannya pada ketika dia mampu untuk itu, dia adalah syaitan"

Encek Q, walaupun apa yang terjadi dan mungkin saya tidak dapat memahaminya, ingat selalu bahawa Allah Maha Adil, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Sabar banyak-banyak. Sayang awak selalu.