Gollllll!!!!!!
Jerit Kamarul tanpa peduli mata-mata yang memandangnya di kedai mamak. Orang lain pun menjerit juga tetapi tidak sampai menghempas kerusi meja seperti Kamarul. Kemudian dia gelak besar dan matanya terus melekat pada kaca televisyen. Tiba-tiba dia terasa hujung bajunya ditarik perlahan. Dia menoleh. Seorang budak perempuan comel, bertocang dua sedang tersenyum kepadanya.
"Abang, kakak tu nak jumpa," kata budak perempuan itu sambil menunjuk ke arah kawasan berdekatan.
Kelihatan seorang gadis memakai baju t sendat sedang tersenyum manis kepada Kamarul. Kamarul menelan air liur beberapa kali. Matanya tepat melihat dada gadis itu. Gadis itu menggamit Kamarul.
"Lauk ni," bisik Kamarul lantas bangun meninggalkan meja lepaknya.
"Hai, saya Kamarul. Awak?" Kamarul mula mengayat. Ayat-ayat cinta.
Gadis itu tersenyum manis. Cair hati lelaki Kamarul. Gadis itu menarik lembut tangan Kamarul dan berjalan menuju ke rumah flat miliknya. Hati Kamarul berbunga riang. Ah! Pedulikan perlawanan bola Malaysia lawan Singapura. Yang penting aku kenyang malam ni.
"Jemput masuk, Abang. Alis nak tukar baju," katanya.
"Abang nak ikut!" balas Kamarul nakal.
Anggukan diterima menggembirakan Kamarul. Apabila dia melangkah masuk sahaja ke bilik gadis, pandangannya tiba-tiba gelap. Hitam.
Kamarul terpisat-pisat bangun apabila dirinya disimbah sebaldi air. Badannya terikat pada kerusi. Di hadapannya gadis itu sedang memegang sebilah pisau rambo.
"Abang, Alis nak buat kad hari lahir corak bola. Tapi Alis tak cukup warna merah. Alis nak mintak darah Abang sikit ya."
"Kau gila, pompuan! Lepaskan aku, bodoh!"
Alis senyum.
Dia menoreh lengan, peha, betis dan mana-mana daging pejal Kamarul. Kamarul menjerit kesakitan. Ditadahnya darah itu ke dalam mangkuk lutsinar. Kamarul melihat Alis membenamkan berus lukisan dan mula mewarna kad hari lahir corak bola sebesar alas kaki.
"Kau gila, pompuan! Kalau aku dapat, siap kau!"
"Tapi sekarang Alis yang dapat Abang kan?" Alis merodok perut Kamarul. Rodok dalam. Tarik. Rodok lagi dalam. Kamarul tercungap-cungap. Alis menjilat kesan-kesan darah pada pisau rambonya. "Alis ingat Alis nak simpan telinga Abang la," sepantas kilat dia memotong telinga Kamarul.
"Aaaaaaaaaaaaaaaa!!! Bodoh! Sial! Pompuan tak guna!!!"
Alis senyum. Diambilnya wayar kabel telefon dan dililit-lilit tengkuk Kamarul.
"Kau nak buat apa, sial?!"
"Alis nak hantar Abang ke syurga,"
Direntap tali sekuat hati. Sehingga tiada nafas masuk ke rongga peparu Kamarul. Terjerut sampai putus nafas.
Alis senyum lagi. Kad hari lahir corak bola sudah tersedia. Boleh dia simpan buat koleksi kad hari lahir.
Senyum.